Siri Jalanan: Pelukis Jalanan (Teme Abdullah).
Entah bagaimana aku boleh terbaca buku-buku Teme Abdullah ni tapi inilah buku pertama yang aku baca setelah mengenali beliau. Secara jujurnya sebelum aku memulakan pembacaan buku dan meminati beliau, aku fikirkan bahawa beliau seorang yang bertuah kerana dapat menerbitkan 14 buku. Selain mempunyai kejayaan dapat menlanjutkan pelajaran di luar negara, berjaya graduasi dan bekerja sebagai seorang arkitek di London. Aku akui dia mempunyai bakat yang luar biasa seperti melukis dan menulis. Lihat sahajalah karya beliau memang aku kagum betul tetapi di sebalik kejayaan beliau, terdapat pelbagai ujian yang beliau harungi.
Buku yang bertajuk 'Pelukis Jalanan' mengisahkan kehidupan beliau sebelum dan semasa berada di luar negara untuk menyambung pelajaran dalam bidang arkitek. Aku tak nak cerita lebih takut nanti bagi spoiler pula. Adalah beberapa intipati yang memberi motivasi untuk aku merealisasikan impian aku.
Kalau korang nak tahu Teme ni orangnya 'special', 'special' aku kat sini ialah dia mempunyai kekurangan yang di mana dia menggunakan kekurangan yang dia ada untuk menjadi orang yang hebat. Selalunya kalau orang yang mempunyai kekurangan dia pasti akan berasa rendah diri. Contohnya akulah. Aku ni pelat, tak boleh nak menyebut huruf r dengan betul. Malah, ada perkataan yang akan kedengaran lain. Disebabkan kekurangan ini, aku akan elakkan untuk menggunakan huruf tersebut. Malah, aku jadi gusar kalau-kalau orang perasan akan kekurangan ini. Kadang-kala aku seperti mempertikaikan kekurangan aku ini.
Hakikatnya, perkara ini tak adalah memberi impak yang besar pun kat diri aku. Aku masih boleh bertutur dengan baik. Tidak bersyukurnya aku kerana diberi kemampuan untuk bercakap jika nak dibandingkan dengan orang-orang yang tidak boleh berkata-kata. Itulah khilaf aku kerana tidak mempunyai rasa bersyukur. Alhamdulillah, aku mendapat motivasi bila baca buku Teme ini supaya untuk terus berusaha di kala dilanda badai.
Bayangkan hidup sebagai anak rantau tanpa biasiswa dan terpaksa bekerja keras bagi menampung yuran dan kos hidup di sana. Tetapi Teme tidak mudah berputus asa. Dia gunakan kelebihan yang dia ada seperti melukis untuk menjana pendapatan. Sumpah, aku menangis bila baca part yang duit dia tak cukup nak bayar yuran, terpaksa catu makanan, kawan setugas tikam belakang dan macam-macamlah. Again, tak nak cerita lebih sebab aku nak korang baca sendiri. Disebabkan Teme, saya menulis semula dalam blog ini setelah sekian lama berhabuk. Impian saya hendak menjadi seorang penulis. Sebelum ni, aku ada menulis novel cinta tetapi ditolak oleh pihak penerbit dan sejak itu aku merajuk dengan diri aku untuk tidak berkarya. Hahaha. Mungkin aku akan menulis lagi tetapi aku tak nak tulis kisah cinta. Macam mana nak menulis kisah cinta, bercinta pun aku tak pernah.
Kata-kata semangat dalam Pelukis Jalanan; ia akan kekal dongen jika engkau tidak mula berjalan.
Dan untuk pembaca yang telah singgah baca, moga korang boleh bagi sokongan kat saya. Kepada Encik Teme Abdullah, terima kasih kerana memberi inspirasi untuk saya memulakan sesuatu yang saya ingin lakukan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah adalah tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Allah.

Comments
Post a Comment